Wednesday, April 25, 2012

Apa itu Epub?

Setelah tiga hari menghilang akhirnya menjelma.... :P Sebenarnya Novunus berkursus tiga hari semenjak isnin lalu dan berakhir kemarin tapi post kali bukan mengenai kursus yang Novunus hadiri.

Novunus ingin berkongsi mengenai format buku elektronik yang Novunus baru pelajari
iaitu Epub. Mungkin ada di antara anda telah lama mengenali dan mengetahui kewujudan Epub ini tapi mungkin ada juga yang masih "kebaruan" dengan format buku elektronik ini seperti Novunus.



Semua ini bermula apabila Novunus menemui buku terbaru Stephen King, bertajuk 11/22/63 dalam format Epub di internet. Sedikit mengenai buku ini,11/22/63 karya Stephen mengisahkan tentang seorang penjelajah masa (time traveler)yang ingin menghalang pembunuhan John F.Kennedy. Novunus memang minat dengan karya-karya Stephen King dan cerita-cerita yang berkisar mengenai menjelajah masa, paranormal dan sains fiksyen.

Pada permulaannya Novunus ingatkan Epub dicipta hanya untuk dibaca di dalam Android,Windows Phone 7,Apple iPad dan etc.. maklumlah sebelum ini Novunus hanya mengetahui dan membaca buku elektronik format PDF yang boleh dibaca di dalam pc menggunakan aplikasi Adobe reader.

Setelah menjalankan kajian dan siasatan dengan menggoogle di internet akhirnya Novunus menemui dua cara bagaimana membaca Epub di dalam pc window:

...antara koleksi Epub Novunus dalam library Epubreader

1:Epub boleh dibaca di dalam PC window dengan menggunakan add on Mozilla Firefox iaitu Epubreader, sebelum itu anda perlu menginstall aplikasi Mozilla Firefox yang boleh diperolehi secara percuma di internet

2:menggunakan aplikasi Calibre yang juga boleh diperolehi secara percuma dan aplikasi ini boleh menukarkan buku elektronik format PDF kepada format Epub.

... 11/22/63 by Stephen King format Epub

Kini Novunus giat mengumpul buku elektronik format Epub yang ditemui di internet, biasanya Novunus cari di epubbud. Antara kelebihan e-book format Epub berbanding dengan ebook format PDF yang Novunus nampak; saiz fail Epub lebih kecil berbanding Pdf dan lebih ringan serta mudah untuk dikendalikan.

Oleh itu sebagai akhir kata dari Novunus, amalkan membaca selalu kerana membaca itu amalan mulia... Macam di kk, Aramatiee..



Wednesday, April 25, 2012 by Novunus Takano · 2

Sunday, April 22, 2012

Nani: United akan menjuarai liga


MANCHESTER UNITED - 4 Rooney (41,69), Wellbeck (57), Nani (60)

EVERTON - 4 Jelavic (33,83), Fellaini (67), Pienarr (85)

Nani berkata para pemain United masih mempunyai keyakinan dan kebolehan untuk memenangi liga inggeris buat kali ke 20 di sebalik keciciran mata ketika bertemu dengan Everton kemarin.

Pasukan The Reds mensia-siakan dua gol pendahuluan sebanyak dua kali dalam perlawanan yang cukup mendebarkan dan berkesudahan dengan seri 4-4.


Keputusan United seri dengan Everton tersebut memberikan sinar harapan baru buat City yang dijadualkan bertemu United pada minggu ini, perlawanan yang dilabel oleh Sir Alex sebagai "the biggest derby we've ever played."

"Ada sedikit kemarahan yang ditunjukkan oleh pemain-pemain United, kami memang menginginkan kemenangan ke atas Everton tetapi melepaskan empat gol amat mengecewakan kami. Itu adalah lumrah dalam bolasepak" Nani memberitahu MUTV.

"Perlawanan menentang City dijangka amat sengit tetapi jika anda mahu menjuarai liga anda tidak seharusnya memikirkan tentang atmosfera atau pihak lawan, kita harus fikirkan cara permainan dan cuba untuk memenangi perlawanan itu"

Novunus: gol-gol yang dijaringkan United sangat menarik tapi akhirnya kemurungan melanda pada akhir permainan, what a waste...

Info asal: manutd


Sunday, April 22, 2012 by Novunus Takano · 2

Thursday, April 19, 2012

Bahaya gadget kepada badan anda

Adakah leher anda berasa sakit apabila terlalu lama membongkok menatap skrin telefon anda? Adakah ibu jari anda berasa sakit selepas menghantar email yang banyak menggunakan telefon pintar anda? Semua keadaan berikut merupakan sebahagian daripada kesan teknologi gadget kepada anggota fizikal badan anda.

Berikut merupakan empat masalah fizikal badan manusia yang berkait rapat dengan penggunaan gadget yang berlebihan atau digunakan dalam posisi kedudukan badan yang tidak betul.


"Text Neck"
Text Neck berpunca daripada penggunaan Smartphone atau Tablets yang berlebihan. Sindrom ini banyak terjadi di kalangan generasi muda kerana ada di antara mereka ini menghabis masa berjam-jam duduk membongkok menatap skrin telefon berbalas teks sms dengan rakan-rakan mereka.

Bayangkan kepala anda adalah sebiji bola boling yang berada di atas sebuah spring. Menolak bola boling itu ke hadapan dalam jangka masa hadapan akan membengkokkan spring yang berada di bawahnya. Jika diaplikasikan kepada manusia, kedudukan postur ini akan memberi kesan yang buruk kerana ia memberikan tekanan pada otot dan ligamen leher manusia.

Bagaimana mengelakkannya?
Jangan duduk terlalu membongkok. Cuba lenturkan leher anda dengan meletakkan kepala anda di bahagian bahu atau pegang gadget anda tinggi sedikit atau sedikit mendongak ketika menggunakannya.


"Computer Vision Syndrome"
Terdedah kepada cahaya yang terang dalam jangka masa yang lama dan saiz tulisan yang kecil menyumbang kepada keletihan mata serta mengakibatkan masalah rabun dekat.

Bagaimana mengelakkannya?
Untuk kesegaran mata amalkan kaedah 20/20/20 iaitu setiap 20 minit anda alihkan mata anda daripada skrin gadget ke arah lain dalam jarak pandangan 20 kaki selama 20 saat. Latihan ini dapat mengelakkan keletihan mata akibat sindrom tersebut.


"BlackBerry thumb"
Berpunca daripada aktiviti berbalas teks sms yang banyak. BlackBerry thumb boleh menyebabkan koyakan kecil pada tisu penyambung di bahagian tendon ibu jari, oleh itu tendon ibu jari akan berasa sakit atau mengalami keradangan.

Bagaimana mengelakkannya?
Rehatkan jari-jari anda. Menurut pakar, individu yang pantas berbalas teks lebih terdedah kepada sindrom ini kerana mereka kerap mengulangi gerakan yang sama.


"IPad Elbow"
IPad Elbow boleh menyebabkan kecederaan kepada tendon di pergelangan tangan sehingga ke siku bergantung kepada bagaimana anda memegang tablet anda. Kebanyakan pengguna Ipad akan berlingkar di atas sofa untuk mendapatkan kedudukan yang selesa tanpa memberi perhatian kepada posisi badan yang betul.

Bagaimana mengelakkannya?
Gunakan pemegang Ipad, cara terbaik sekali berehat untuk mengurangkan kesakitan.

Novunus: kalau sudah berjam-jam berbalas teks sms kalau tinggal dekat-dekat baik berjumpa sajalah

Info asal: entrepreneur

Thursday, April 19, 2012 by Novunus Takano · 5

Wednesday, April 18, 2012

Bryan Oviedo dalam buruan United


Manchester United sedang mempertimbangkan pembelian pemain bek kiri FC Copenhagen, Bryan Oviedo bernilai dua juta pound. United menghantar pemerhati untuk memantau permainan pemain kebangsaan Costa Rica ini.

Oviedo yang bermain ketika perlawanan Memorial Gary Speed Februari lalu, telah membuat penampilan sebanyak 13 kali untuk FC Copenhagen pada musim ini dan menghampiri penghujung kontrak pada musim hadapan kini bernilai dalam sekitar dua juta pound.

United sedang mencari pemain bek kiri pilihan kedua kerana Fabio dijangkakan akan dipinjamkan ke Benfica pada musim hadapan. Benfica juga menunjukkan minat mereka dengan pemain tengah United, Anderson di mana persaingan untuk pemain tengah United semakin sengit kerana United kini dalam proses mencari dua lagi pemain baru di bahagian tengah.

Menurut akhbar lain di England: "Sir Alex Ferguson mahu Fabio da Silva dipinjam kepada kelab di dalam Liga Inggeris sahaja" dan ada beberapa laporan lain yang mengatakan Fabio akan ke Benfica pada musim hadapan

Novunus: akan berpisah juga akhirnya, Rafael tampak lebih menyerlah berbanding dengan kembarnya Fabio

Info asal: manutd

Wednesday, April 18, 2012 by Novunus Takano · 2

Takefuso Kubo "Messi Jepun" disambar Barcelona


Pemain muda berumur 11 tahun, Takefusa Kubo yang digelar sebagai "Messi Jepun" telah diikat oleh Barcelona, kelab yang menggilap bakat pemain terbaik dunia iaitu Lionel Messi.

Menurut laporan akhbar di Sepanyol, jurulatih Barcelona kagum dengan permainan yang ditunjukkan oleh Kubo ketika bermain di Sekolah bolasepak Fukuoka, sekolah kelolaan Kelab Bolasepak Barcelona yang terletak di selatan Jepun.


Keluarga Kubo dilaporkan telah berpindah ke Barcelona dan Kubo tinggal bersama mereka dan tidak tinggal di Akademi La Masia sebaliknya berulang alik ke La Masia untuk menjalani latihan.

Kubo memakai jersi bernombor 10 di dalam skuad muda La Masia Barcelona dan terkenal dengan kehebatan kaki kirinya. Dia menunjukkan prestasi yang cemerlang pada minggu ini apabila menjaringkan satu gol dan mencipta satu peluang gol ketika skuad muda Barcelona menang ke atas skuad muda Villareal 3-0



Novunus: Messi pun bukannya makin muda, eloklah sediakan pengganti...

Info asal: thisdaylive

by Novunus Takano · 2

Monday, April 16, 2012

Tupac Shakur mati hidup kembali


"Menyeramkan dan di luar jangkauan pemikiran manusia"

Itulah yang dikatakan oleh rata-rata pengunjung Festival Muzik Coachella di California apabila mereka melihat Tupac Shakur beraksi di atas pentas.

Penyanyi rap,Tupac Shakur mati dibunuh pada tahun 1996 dilihat seperti hidup kembali dan membuat persembahan ahad lalu, beraksi bersama-sama dengan ikon rap seperti Snoop Dogg dan Dr.Dre.


Tupac Shakur yang tidak berbaju, hanya berseluar jeans dan memakai kasut but Timberland kelihatan realistik dan mengejutkan 100 000 pengunjung, yang sebenarnya hanyalah imej hologram.

Dr.Dre merupakan produser kepada persembahan pada malam tersebut, membayar kos hampir $400,000 kepada AV Concepts untuk menghidupkan kembali Tupac Shakur. Sebelum persembahan itu diadakan, Dre terlebih dahulu meminta kebenaran ibu Tupac, Afeni Shakur yang kemudiannya menonton persembahan hologram anaknya itu melalui internet.


Hologram Tupac Shakur yang berumur 25 tahun ketika dibunuh, mempersembahkan dua lagu hitnya,"Hail Mary" dan "2 of Amerikaz Most Wanted" Dia turut berinteraksi dengan penonton, dia berkata:“What the f— is up, Coachella?” sebaik berada di pentas.

AV Concepts sebelum ini telah menghasilkan beberapa konsert hologram untuk Janet Jackson, Celine Dion dan The Black Eyed Peas. Mereka merealisasikan persembahan Tupac Shakur yang diimpi-impikan oleh Dr.Dre.

Novunus: tertarik dengan teknologi hologram, penggunaannya mungkin akan semakin meluas di masa hadapan.
Info asal: nydailynews

Monday, April 16, 2012 by Novunus Takano · 4

Sunday, April 15, 2012

Why Always...



...semuanya bermula apabila Balotelli menjaringkan gol ketika City bertemu United di Old Trafford



...Penyokong United membetulkan kesilapan soalan Balotelli




...Mancini, referee : "Why Always You!"


Novunus: ada berita mengatakan dia bakal dijual oleh City, memang patut pun...

Sunday, April 15, 2012 by Novunus Takano · 2

Nikmati setiap kejayaan yang dikecapi


Sir Alex menggalakkan anak-anak buahnya untuk menikmati kejayaan mereka menewaskan Aston Villa, 4-0 di Old Trafford dan mengekalkan kelebihan lima mata mendahului City di tangga liga inggeris.

The Reds pulih dari kekecewaan tewas kepada Wigan rabu lalu dengan menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama dan kedua. Pasukan pelawat dikejutkan dengan sepakan penalti pada awal permainan apabila pengadil menghadiahkannya kepada United setelah Ashley Young dijatuhkan di dalam kotak penalti Villa. Rooney menyempurnakan sepakan penalti tersebut dan kini mengumpul 31 gol bersama United.

"Satu keputusan yang baik" Rooney memberitahu MUTV. "Kadangkala permainan kami nampak cuai tetapi kami juga menunjukkan permainan yang baik dan menjaringkan goal. Saya sangat berpuas hati"

Apabila ditanya mengenai pandanganya terhadap sepakan penalti tersebut apabila Young dijatuhkan oleh Ciaran Clark, Sir Alex: "Dia menjatuhkan Ashley dengan sengaja, Ashley berjaya mengelecek dan masuk ke dalam kotak penalti dan dia dijatuhkan dengan sengaja oleh Clark. Bukan sifat semulajadi Young untuk "dive", dia memang dijatuhkan oleh Clark.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku tetapi bola itu berjaya melintasi kotak penalti Villa dan berjaya menemui Danny. Gol itu meletakkan United selesa 2 gol di hadapan Villa. Kekalahan di Old Trafford adalah sesuatu yang kami perlu elakkan."

Novunus: kekalkan sebanyak mata mendahului yang mungkin sebelum bertemu City, next game Everton at Trafford

Info asal: manutd

by Novunus Takano · 2

Thursday, April 12, 2012

Ferguson mahu peningkatan


Sir Alex Ferguson berjanji akan ada peningkatan dalam permainan Manchester united apabila bertemu dengan Aston Villa ahad nanti selepas tewas mengejut kepada 1-0 Wigan kemarin.

Kelebihan lapan mata The Reds sebagai pendahulu liga kini tinggal lima mata selepas City membelasah West Brom 4-0 tetapi juara liga inggeris 19 kali,United diramal akan memungut mata penuh dalam kedua-dua perlawanan di laman sendiri menentang Villa dan Everton.

Di sebalik persembahan mendatar ketika menentang Wigan di DW stadium, prestasi United dalam mengejar kejuaraan liga inggeris adalah baik secara keseluruhannya.

"Saya rasa kemenangan di tempat sendiri adalah amat penting kepada kami ketika ini" Sir Alex memberitahu MUTV. "Kami menunjukkan prestasi yang baik, buktinya adalah kedudukan United di tangga liga ketika ini. Beberapa bulan yang lalu United berada di belakang City, ketinggalan beberapa mata dan gol. Para pemain United harus diberikan pujian kerana berjaya bersaing dengan City"

Novunus: kadang-kadang team tercorot ni jadi super bila lawan team yang kuat, pelik...

Info asal: manutd

Thursday, April 12, 2012 by Novunus Takano · 2

Tuesday, April 10, 2012

Rahsia Penjaga Parking berumur 102 tahun


Joe Binder berumur 102 tahun mempunyai seorang teman wanita berumur 48 tahun untuk menemaninya menari dan bermain boling bersama dengan dua orang adik perempuannya berumur 98 tahun dan 93 tahun. Dia bekerja sebagai pelayan menjaga parking di Restoran Mario, Arthur Avenue di Bronx sejak 25 tahun yang lalu.

Binder baru sahaja memperbaharui lesen memandunya dan ingin terus bekerja sehingga umurnya mencecah 110 tahun. Bila ditanya apakah rahsia umur panjang yang diamalkan oleh Joe Binder? Binder berkata dia hanya mengamalkan sikap baik hati dengan semua orang di sepanjang hidupnya


Binder tidak pernah mengambil tip daripada pelanggannya. Jika dia menerimanya pun dia akan dermakan kesemuanya kepada orang-orang gelandangan. Beberapa tahun yang lalu Binder menerima satu kejutan apabila seorang wanita yang pernah dibantunya telah menghantar kad harijadi kepadanya berserta dengan wang $400 !


"Apabila mereka melukai hati saya, saya tidak akan menyimpan dendam malah saya akan buka muka surat yang baru dan memaafkan mereka" demikian rahsia Joe Binder, si penjaga parking berumur 102 tahun.

Novunus: senyumlah dan terus bersabar, moga-moga umur panjang.

Info asal: cityroom

Tuesday, April 10, 2012 by Novunus Takano · 1

Sunday, April 8, 2012

City kini ketinggalan lapan mata


United kekal pendahulu Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan lapan mata selepas City yang bermain dengan 10 pemain tewas kepada Arsenal di Emirates. Mikel Arteta muncul wira kepada Arsenal apabila menjaringkan gol pada minit ke-87 memberikan kemenangan berharga buat Arsenal dan tiga lagi mata berharga dicicirkan oleh City.

Keadaan bertambah buruk buat anak-anak buah Mancini apabila Mario Balotelli dibuang padang pada akhir permainan kerana mendapat dua kad kuning. Penyerang itu hampir disingkirkan pada separuh masa pertama apabila membuat terjahan keras ke atas Alex Song yang bernasib baik kerana tidak mendapat kecederaan serius.

The Gunners mendominasi awal permainan dengan tandukan Robie Van Persie terkena palang dan percubaan rendah Theo Walcott ditepis oleh Joe Hart, bola yang muntah gagal disudahkan oleh Vermaelen dan Yossi Benayoun.

Gol yang dinantikan akhirnya tiba, tiga minit sebelum permainan tamat Arteta merampas bola daripada kawalan David Pizarro di tengah padang dan kemudiannya melepaskan satu rembatan rendah melepasi jangkauan Hart. Penyingkiran Balotelli menyusul kemudian dan kekalahan City ini menyebabkan peluang mereka untuk menjuarai Liga Inggeris semakin sukar.


Novunus: Berita ini buat aku tersenyum sepanjang hari ini..
Info asal: manutd

Sunday, April 8, 2012 by Novunus Takano · 0

Saturday, April 7, 2012

Lelaki Fotogenik cetus sensasi di internet

Zeddie Little, 25 menjadi sensasi baru internet apabila gambar yang diambil oleh seorang jurufoto amatur semasa dia mengikuti Larian 6 km di Charleston, South Carolina dilihat sebanyak 1.25 juta di Flickr semenjak 31 Mac yang lalu.

Jurufoto amatur Will King mengambil foto Zeddie tersenyum dengan rambut yang beralun dan memuat naik gambar tersebut ke akaun Flickrnya dan memberikan tajuk 'Ridiculously Photogenic Guy'.


King memberitahu suratkhabar tempatan The Post and Courier, salah seorang rakannya memberikan komen 'I dub this guy Mr Ridiculously Photogenic'. Dia kemudiannya memuat naik komen rakannya itu ke Reddit (laman web berita internet) dan segala-galanya bermula dari sana.

Ayahnya, Jack ditemuramah di rumahnya di Isle of Palms, South Carolina berkata "Apa yang terjadi benar-benar tidak masuk akal dan mencetus satu fenomena. Dia seorang anak yang rajin dan bertuah."Dia tidak pernah terbabit dalam bidang model. Ketika ini dia bergelut untuk menempatkan dirinya di dalam bidang perniagaan di New York dan sudah pasti sensasi terbarunya ini akan membantunya."


Facebook Fan Page Zeddie Little kini menerima 2327 Likes, Facebook Group yang didaftarkan khas untuknya menerima 800 likes pada pukul 9 dan mempunyai 1700 orang pengikut pada pukul 10 pagi hari yang sama.

Zeddie bukan sahaja seorang atlit, dia pandai memasak, mempunyai Ijazah dan masa depan yang cerah menantinya. Berita terkini mengenai bintang sensasi internet ini mengatakan dia sudah mempunyai teman istimewa semenjak 5 tahun yang lalu telah menghancurkan ramai hati gadis yang jatuh hati kepada senyumannya.



Menurut suratkhabar Charleston City, Zeddie Little bertemu dengan teman wanitanya pada tahun 2007 semasa bekerja di sebuah restoran Pizza di bandar Charleston, South Carolina. Pasangan itu berpindah ke New York semasa musim panas yang lalu dan Zeddie telah bekerja di beberapa restoran.



Zeddie Little menimba ilmu di West Ashley High School dan kemudian menyambung pengajiannya di College of Charleston. Dia menamatkan pengajiannya pada tahun 2009 dan mendapat ijazah dalam bidang seni.


Novunus: 'Ridiculously Photogenic Guy'

Info asal: dailymail

Saturday, April 7, 2012 by Novunus Takano · 2

Friday, April 6, 2012

Si kecil melukis mimpi


Siobhan berumur 2 tahun setengah (pada December 14, 2007) dan dia didiagnosis menghidap autisme atau kecelaruan autistik. Selepas didiagnosis menghidap autisme, si kecil ini hanya makan makanan yang kering dan rangup sahaja.

Dia akan menjerit apabila tangannya dijilat oleh binatang. Secara asasnya, Siobhan tidak mahu menyentuh benda atau permukaan yang basah dan berlendir.

Ibubapanya memberikannya peluang melukis menggunakan berus cat sebagai terapi kepadanya. Pada awalnya, Siobhan hanya mahu mengecat menggunakan berus dan mana-mana cat yang singgah di tangannya akan dilap serta merta oleh ibubapanya. Mereka berterusan memantau aktivitinya kerana dia gembira dengan terapi melukisnya.


Pada suatu hari, satu keajaiban berlaku, Siobhan membuang berus catnya dan mula mencampur-campurkan cat warna dengan cantik sekali menggunakan tangannya. Ibunya terlopong dan berasa amat kagum melihatnya.


Semenjak dari hari itu, Siobhan melukis sendiri di atas sebuah kanvas. Bakatnya berkembang sebagai seorang pelukis kecil. Dia memberikan isyarat atau memberitahu warna cat yang dia inginkan.

Siobhan memilih warna catnya dengan teliti dan menumpukan sepenuh perhatian kepada lukisannya. Kadangkala dia akan memberontak kecil menghempas kanvas lukisannya ke lantai jika ayahnya memberikan warna cat yang salah kepadanya.


Empat dari lukisan Siobhan telah dipamerkan di Projek Pameran Seni Pusat Autisme Neurodevelopment dan beberapa akhbar tempatan membuat liputan mengenai Siobhan dan lukisan uniknya.

Kisah Siobhan tersebar dengan pantas ke seluruh Florida, Amerika. Beberapa minggu kemudian Rangcangan Selamat Pagi Amerika ingin menemubual Siobhan dan keluarganya tetapi segala-galanya perlu dirancang dengan rapi kerana Siobhan tidak menyukai lampu-lampu terang, bunyi bising atau apa sahaja yang melanggar normaliti kehidupan sehariannya.

Novunus: Hidup ini penuh dengan liku dan cabaran; hidup ini juga penuh dengan anugerah istimewa yang tersembunyi. Saya percaya setiap insan ada keistimewaan dan keunikan mereka masing-masing termasuklah si kecil penghidap autisme. Ramai golongan autisme yang dibantu telah berupaya dan berjaya dalam hidup. Oleh itu kita haruslah sentiasa bersedia mendengar serta membantu dalam apa jua cara, untuk menjadikan golongan istimewa ini sebagai warganegara yang berguna.

Info asal: etsy



HTML tutorial

Friday, April 6, 2012 by Novunus Takano · 0

Wednesday, April 4, 2012

kereta terbang Terrafugia temui pesaing baru

Kereta terbang "Terrafugia Transition" buatan Amerika akan bertemu dengan pesaing barunya kereta terbang buatan Belanda "The PAL-V" apabila mereka bersama-sama memeriahkan New York International Auto Show minggu ini.

The PAL-V terbang seperti gyrocopter. Lulus Ujian pemanduan di jalan raya pada tahun 2009 dan mampu terbang sejauh 200 hingga 315 Km. Kereta terbang buatan Belanda ini mempunyai kelajuan sehingga 110 km sejam di udara dan di darat.




Manusia kini memasuki era kegemilangan dalam bidang automotif apabila fungsinya bakal menguasai bidang aeroangkasa. Setelah berdekad idea-idea kereta terbang melahirkan pelbagai prototaip yang gagal kini impian kereta terbang bakal menjadi realiti.

Terrafugia Transition milik firma aeroangkasa Amerika Syarikat telah lulus ujian penerbangan bulan lalu setelah permohonan pembuatannya diberi lampu hijau oleh Pentadbiran keselamatan jalan-raya Amerika Syarikat Julai tahun lepas.


Mempunyai dua tempat duduk dan kedua-dua sayapnya boleh dilipat. Menggunakan minyak petrol dan boleh dipandu di darat dan terbang di udara. Ujian penerbangannya dijalankan di Lapangan terbang Plattsburgh, New York berjalan selama 8 minit dan terbang dalam ketinggian 1400 kaki.

Kepada pembeli yang berminat, syarikat Terrafugia Transition meminta deposit sebanyak $10,000
daripada &279,000 harga kereta terbang itu dan kereta tersebut akan berada di pasaran penghujung tahun ini dan mensasarkan untuk menjual 600 unit atau lebih.

Novunus: sukar bayangkan langit dipenuhi dengan kereta terbang
Info asal: pcmag

Wednesday, April 4, 2012 by Novunus Takano · 0

Tuesday, April 3, 2012

Menu terakhir Titanic berharga 76 ribu pound!


Menu makan tengah hari terakhir bagi penumpang kelas pertama Titanic sebelum ia karam dijual pada harga 76 ribu pound ($122000) semasa jualan lelong di Britain pada ahad lalu.

Menu itu bertarikh 14 April 1912 dan merupakan menu makan tengah hari bagi penumpang kelas pertama Kapal Titanic sebelum ia berlanggar dengan bongkah ais dan karam.

Menu itu terletak di meja seorang pegawai bank iaitu Dr. Washington Dodge yang berasal dari San Francisco.

Isteri Dodge, Ruth telah menyelitkan menu itu di dalam beg tangan selepas makan tengah hari dan tidak menjangka akan membawanya bersama di dalam bot penyelamat pada petang itu.

Pasangan itu dan anaknya Washington Junior terselamat daripada tragedi tersebut dan menu itu menjadi warisan turun-temurun keluarga Dodge.

Novunus: Kertas itu berumur 100 tahun!
Info asal: luxuo

Tuesday, April 3, 2012 by Novunus Takano · 1

Monday, April 2, 2012

Data 72 tahun lalu tarik 22.5 juta pengunjung dalam tempoh tiga jam

Apabila Arkib Negara dan rekod pentadbiran Amerika Syarikat menerbitkan Data Banci tahun 1940 secara online pada isnin lalu, bilangan pengunjung yang akan mengakses data yang berumur 72 tahun tahun tersebut benar-benar mengejutkan mereka, 22.5 juta pengunjung dalam tempoh tiga jam. Pihak pentadbiran meminta maaf kepada jutaan lagi rakyat Amerika yang tidak dapat mengakses laman web mereka.

Sebahagian besar pengunjung berjaya mengakses laman web tersebut, ada juga yang tidak berjaya dan terpaksa menunggu selama 20 minit atau lebih untuk melihat paparan web kerana terlalu ramai pengguna membanjiri server laman web itu.


Arkib Negara Amerika mengupah syarikat Iflection, sebuah syarikat pangkalan data untuk mengemudi operasi server tetapi dengan jumlah pengunjung unik seramai 1.9 juta menyebabkan web tersebut sukar dikawal. Akaun Twitter @1940sCensusNews yang didaftarkan oleh Akib Negara Amerika Syarikat melaporkan mereka menerima 100 000 respon dalam setiap saat.


Maklumat data banci tahun 1940 Amerika Syarikat pertama kali diterbitkan semenjak 72 tahun yang lalu kerana undang-undang privasi melarangnya diterbitkan sebelum ini. Kini masyarakat awam Amerika boleh mencari maklumat mengenai 132 juta penduduk yang hidup di Amerika Syarikat pada tahun 1940, sebelum Perang Dunia kedua meletus.




Novunus: Sejarah mengajar kita...
Info asal: cbsnews

Monday, April 2, 2012 by Novunus Takano · 1

Kesabaran membawa kejayaan


Sir Alex Ferguson menyatakan kesabaran yang ditunjukkan oleh United ketika menentang Blackburn Rovers adalah kunci kejayaan mereka ketika United menang 2-0 di Trafford.

Gol lewat permainan daripada Antonio Valencia dan Ashley Young memberikan satu lagi persembahan yang menakjubkan daripada juara bertahan United sekaligus terus kekal sebagai pendahulu liga inggeris dengan kelebihan lima mata mengatasi City .


Ketika bercakap dengan Sky Sport, Sir Alex hanya tersenyum: "Ia merupakan satu malam yang panjang. Kami harus tabah dan bersabar, akhirnya kami berjaya mendapat hasilnya"

"Gol pembukaan Valencia pada lewat permainan adalah amat penting sekali. Rembatannya sangat padu. Ia mungkin hantaran lintang, mungkin juga satu percubaan ke arah gol"

"Kami masih mempunyai baki tujuh perlawanan dan mengikut pengalaman saya walaupun United mendahului dengan lima mata kami harus harus menang pada perlawanan menentang QPR ahad nanti"

"Kami menjaringkan lebih banyak gol ketika ini dan itu merupakan satu peningkatan dalam permainan kami. Daripada 18 gol kini hanya tinggal 1 perbezaan gol dengan City yang berada di tempat kedua. Mungkin hanya perbezaan gol yang akan menentukan segala-galanya.

Novunus: Dea gea banyak menyelamatkan keadaan melalui beberapa "world class"
Info asal: manutd

by Novunus Takano · 0

Sunday, April 1, 2012

United kekal pendahulu, City berputih mata


Kempen United untuk memenangi Liga Inggeris buat kali ke-20 semakin cerah apabila City kehilangan dua mata setelah hanya mampu seri dengan Sunderland di tempat sendiri.

City hampir mengalami kekalahan pertama di tempat sendiri semenjak 15 bulan yang lalu apabila ketinggalan 1-3 ketika permainan berbaki hanya enam minit. Namun demikian anak-anak buah Roberto Mancini berjaya menyamakan kedudukan melalui gol daripada Mario Balotelli dan Aleksandar Kolarov.

Sunderland hampir-hampir menjadi pasukan pelawat yang pertama mencatat kemenangan di Stadium Etihad sejak 20 Disember 2010 di mana Everton menewaskan City 2-1. Penalti daripada Balotelli menyamakan kedudukan 1-1 apabila The Black Cats mendahului melalui gol daripada Sebastian Larsson. Walau bagaimanapun Sunderland kembali di hadapan apabila tandukan Nicklas Bendtner menewaskan penjaga gol City, Joe Hart.

Gol ketiga Sunderland menyusul 10 minit selepas sepak mula separuh masa kedua, disumbangkan oleh Sebastian Larsson. Roberto Mancini yang kehilangan Sergio Aguero dan Samir Nasri akibat kecederaan mengeluarkan David Silva dan memasukkan Carlos Teves. Pertukaran tersebut tampak kurang berkesan namun CIty berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh enam minit terakhir permainan.

Keputusan 3-3 menyebabkan anak-anak buah Mancini ketinggalan dua mata di belakang United. Ini bermakna The Reds mungkin akan terus mengungguli takhta liga dengan kelebihan lima mata ketika bertemu dengan QPR pada ahad nanti tetapi perlu menang ke atas Blackburn Rovers pada pagi isnin esok.


Novunus: Impress dengan persembahan Sunderland almost knockdown 816 milion pound team in EPL!

Info asal: manutd

Sunday, April 1, 2012 by Novunus Takano · 0

All Rights Reserved Blog Novunus | Blogger Template by Bloggermint