Blog Novunus

Saturday, March 31, 2012

Apakah bentuk personaliti anda?

Salam sejahtera dan salam satu Malaysia.

Ribuan terima kasih diucapkan kepada anda kerana sudi membaca bebel Novunus. Hari ini Novunus ingin berkongsi kepada anda mengenai Sesi Berkongsi Maklumat yang Novunus hadiri .

Sesi berkongsi Maklumat atau KSS ini biasanya diadakan oleh "ofis" Novunus pada setiap hari jumaat. Setakat ini Novunus telah menghadiri 5 jam KSS. Bagus juga dapat ikut KSS pada setiap hari jumaat ini sebab Novunus dan rakan-rakan perlu mencukupkan syarat berkursus 7 hari setahun. Kalau jumlah jam KSS genap 6 jam dapatlah sehari berkursus.

Bahagian Novunus ni memang susah sikit dapat berkursus tiga hari, bila "apply" asyik "kena reject" oleh penyelia. Well that's not the story that i'm about to tell.

Setelah lebih kurang 10 minit berborak-peranda, tuan penceramah yang dinanti pun tiba. Perwatakannya nampak ceria, bibirnya mengukirkan senyuman. Orangnya sederhana tinggi "standard orang Asia", bercermin mata, tali leher berwarna merah dan seluar panjangnya dipakai tinggi sedikit melepasi pinggang tidaklah seperti orang-orang zaman P.Ramlee.

Beliau memperkenalkan diri tapi Novunus lupa namanya. Memang Novunus ada masalah mengingat nama orang, hanya mampu mengingat rupa. Pernah ku jumpa tapi di mana ya? Situasi begini memang selalu terjadi pada Novunus.

Berbalik kepada cerita, beliau merupakan timbalan pengarah Biro Tatanegara. Cara beliau berkomunikasi menyampaikan ceramah memang hebat. Kalau beliau jadi "salesman" memang menguntungkan syarikat tapi jawatan pun timbalan pengarah memanglah hebat komunikasinya.

Beliau meminta bantuan pengacara majlis untuk edarkan kertas putih kepada setiap orang. Kawan sebelah Novunus sembunyikan pen sebab pen diberikan bagi yang datang sehelai pinggang. Novunus tersengih sahaja dan bersedia mendengar arahan dari tuan pemceramah.

Tuan penceramah menunjukkan slaid yang mengandungi empat bentuk iaitu bulat, segiempat sama, segitiga dan ombak. Beliau meminta kami melukiskan bentuk yang menggambarkan diri masing-masing


imej : psygeek


Berkerut kening Novunus memikirkan bentuk yang sesuai. Akhirnya bentuk bulat pilihan novunus. Kenapa? kehidupan Novunus seperti roda, kadang-kadang berada di atas maknanya Novunus mampu membawa seisi istana ke mana sahaja yang dititahkan permaisuri demi memenuhi kehendak mereka dan kadang-kadang berada di bawah maknanya Novunus hanya mampu membelikan apa yang menjadi keperluan bagi mereka tapi kebiasaannya Novunus sentiasa berada di bawah seperti roda itu tidak berpusing.

Dipendekkan cerita, menurut tuan penceramah setiap bentuk tersebut mewakili personaliti seseorang itu. Keputusannya, hanya dua orang yang memilih bentuk tiga segi, empat orang memilih empat segi dan selebih memilih antara bulat dan ombak tapi majoritinya memilih ombak.

Tuan Penceramah pun memberikan personaliti yang diwakili oleh bentuk-bentuk tersebut.

Orang bentuk segitiga merupakan orang yang tersangat rajin. Datang kerja awal dan sanggup balik lewat malam semata-mata hendak menghabiskan kerja. Sentiasa mematuhi arahan dalam apa jua sekali pun.

Orang bentuk empat segi lebih kurang sama dengan orang bentuk tiga segi cuma mereka tidak sekronik orang tiga segi maknanya mereka masih membuat kerja tapi tidaklah sehingga terbitnya matahari keesokan hari.

Personaliti orang bentuk bulat pula adalah rajin, sederhana dan bertimbangrasa. Selain Novunus, timbalan pengarah, penyelia Novunus sendiri dan kebanyakan pihak atasan yang hadir memilih bentuk bulat maknanya walau apa masalah sekali pun pihak atasan Novunus masih boleh bertimbangrasa

Akhir sekali orang bentuk ombak, mereka ini bukanlah pemalas tapi dalam ketika bekerja mereka suka bermain-main. Orang-orang bentuk ombak ini suka mempengaruhi orang-orang bentuk lain dalam membuat keputusan mereka tapi tanpa mereka suramlah suasana suatu pejabat itu.

Riuh seluruh bilik gerakan bila tuan penceramah menceritakan personaliti bentuk masing-masing. KSS tamat pada pukul 11 tengah hari dan penceramah bergegas meninggalkan bilik kerana ada komitmen lain.

Akhir kata, anda boleh mencuba sendiri kuiz ini atau jual pada kawan-kawan lain kerana ia terbukti berkesan. Itu sahaja bebel Novunus pada kali ini, "bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat" :) aramaiti....

0 Responses to “Apakah bentuk personaliti anda?”

Post a Comment

All Rights Reserved Blog Novunus | Blogger Template by Bloggermint